KUALA LUMPUR – Hasrat PDRM FC untuk memadam kekecewaan di final Piala Cabaran tidak terlaksana apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Keputusan itu juga adalah kekalahan ketiga berturut-turut dicatatkan The Cops dalam saingan Liga Super.
Selepas kehilangan khidmat jurulatih, P. Maniam, PDRM seakan dihimpit lebih malang berganda apabila turut dihimpit masalah kecederaan pemain, menyaksikan penyerangnya, Shahrel Fikri Md Fauzi terpaksa dipapah keluar.
Kapten KL City, Paulo Josue sekali lagi membuktikan impak besar buat pasukan apabila menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-23 menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti.
Seterusnya, kedua-dua pasukan saling melakukan gerakan namun tiada sebarang jaringan mampu dihasilkan.
Tuan rumah hanya memerlukan lima minit di babak kedua untuk menggandakan kelebihan dan kali ini giliran Haqimi Azim Rosli merobek gawang lawan.
Tempoh 20 minit selepas itu menyaksikan The City Boys melepaskan sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik termasuk menerusi tandukan Josue pada minit ke-65 yang sekadar melintasi pintu gol pelawat.
Bagaimanapun, sebaik aksi memasuki masa kecederaan babak kedua, PDRM FC memperoleh gol saguhati menerusi Chidi Emma Osuchukwu. – KOSMO! ONLINE