KUALA LUMPUR – Shangri-La Kuala Lumpur salah satu hotel ikonik yang menawarkan pengalaman berbuka puasa unik dan menarik khususnya bagi pelanggan setia, warga kota dan juga masyarakat melalui sajian lazat hasil air tangan cef-cef yang berpengalaman.
Restoran Lemon Garden di hotel yang terletak di Jalan Sultan Ismail di sini akan kembali sibuk dalam bulan Ramadan ini dengan tema Sajian Istimewa.
Meskipun nama tema bufet hotel itu agak ringkas tetapi menu lazat yang dihidangkan bakal memenuhi selera berbuka puasa pelanggannya.
Gabungan masakan Melayu hasil perkongsian idea daripada beberapa cef yang berpengalaman bakal membawa menu lazat dari kampung masing-masing mewarnai barisan hidangan bufet yang pastinya akan membuatkan pelanggan mengimbau kenangan lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setiap hidangan yang disediakan itu pastinya memiliki ceritanya tersendiri yang memberi makna kepada cef.
Salah satunya adalah idea Cef Muhammad Safri dengan menu kambing bakar ‘meletup’ yang akan menjadi tumpuan pelanggan kerana hasil teknik memasak, memerap daging telah diperturunkan di kampungnya di Selangor secara turun-temurun ke generasi seterusnya.
Cef Nahar pula menyediakan menu rendang tok daging tulang rusuk dari Perak yang menggunakan rusuk pendek daging lembu cukup terkenal dalam kalangan kerabat diraja Perak.
Selain itu, Cef Hafiz pula menyediakan menu ikan patin masak tempoyak dari Pahang yang menggunakan sumber ikan segar dari negeri tersebut yang dimasak dengan tempoyak.
Cef Rasyafiq pula membawa menu signatur terkenal laksa Johor yang dimasak secara tradisional, manakala Cef Fazriza mengetengahkan semula kuih bakar dangai dengan gula Melaka untuk menyempurnakan lagi sajian bufet Ramadan kali ini.
Menggabung menu popular bubur lambuk istimewa dan juga hidangan ketupat dan lemang bersama serunding, bakal menceriakan momen berbuka puasa pengunjung selain diselitkan dengan menu ice kacang atau, cendol.
Terdapat juga pelbagai masakan Barat, Jepun, makanan laut dan makanan Cina untuk hidangan utama.
Kaunter pemanis mulut juga menawarkan pilihan yang akan membuatkan pengunjung rambang mata.