GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dalam operasi berasingan di sekitar negeri ini dan di Kulim, Kedah kelmarin.
Dalam operasi bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam itu, polis merampas 11 kilogram (kg) heroin bernilai RM105,600.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abdin berkata, tangkapan pertama ke atas seorang lelaki di tepi jalan di George Town dan menemui 4.5kg heroin bernilai RM43,200 di dalam sebuah kenderaan.
“Hasil soal siasat, kita menyerbu sebuah pusat cucian kereta di Bayan Lepas dan merampas 6.5kg heroin bernilai RM62,400 menjadikan jumlah keseluruhan dadah dirampas bernilai RM105,600,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan risikan, polis kemudian menahan dua lelaki dan seorang wanita secara berasingan di beberapa lokasi di Kulim, Kedah.
Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif THC (Tetrahydrocannabinol), manakala dua lagi mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.-KOSMO! ONLINE