MILAN – Pelumba McLaren, Oscar Piastri percaya jentera MCL39 masih menyembunyikan beberapa elemen penting ketika ini yang bakal mencuri perhatian ketika turun ke litar pada sesi ujian.
Jentera McLaren itu dijadual menjalani sesi ujian pra musim di Bahrain pada Rabu sekali gus bakal memberikan penanda aras awal buat McLaren dalam memburu kejayaan yang lebih besar musim ini.
Sebagai pasukan pertama yang memperkenalkan jentera 2025, McLaren mencuri tumpuan, meskipun versi pelancaran tersebut berkemungkinan mengalami perubahan sebelum perlumbaan pembuka tirai.
Piastri yang bakal memasuki musim keduanya bersama McLaren menyatakan reka bentuk dan inovasi pada MCL39 berpotensi menjadi topik hangat dalam paddock F1 setelah ujian rasmi bermula.
“Ada beberapa perkara menarik pada kereta yang saya pasti semua orang akan nampak esok,” kata Piastri.
Piastri turut menambah bahawa ujian di Bahrain akan memberikan gambaran awal mengenai tahap keupayaan MCL39, namun keputusan sebenar hanya akan dapat dilihat apabila musim bermula di Grand Prix Melbourne.
Ketua pasukan McLaren, Andrea Stella sebelum ini mendedahkan pasukannya telah mengambil pendekatan pembangunan yang lebih agresif untuk meningkatkan daya saing jentera mereka.
Meskipun McLaren dilihat sebagai pencabar utama tahun ini, Piastri menegaskan kepentingan untuk mengimbangi pembangunan kereta bagi musim 2025 dan 2026, memandangkan perubahan besar dalam peraturan teknikal bakal diperkenalkan tahun depan. – AGENSI