ARAU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk meningkatkan kuota pengambilan Kor Sukarelawan Polis Siswa (Suksis) bagi diserap ke dalam pasukan keselamatan itu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, cadangan untuk menambah kuota pengambilan pegawai Kor Suksis daripada lapan peratus ketika ini kepada 15 peratus telah dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi.
“Bagaimanapun, perkara ini memerlukan perbincangan teliti di peringkat atasan sebelum keputusan akhir dibuat mengenai penambahan kuota pengambilan kadet Inspektor daripada kalangan pegawai Kor Suksis.
“PDRM juga sedang berbincang dan bercadang untuk menubuhkan sebuah jabatan baharu bagi menangani jenayah siber yang akan memerlukan calon dengan latar belakang dalam bidang perakaunan, kejuruteraan, forensik dan kecerdasan buatan,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik Kor Suksis Universiti Awam Peringkat Kebangsaan di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Tambah Wan Hassan, PDRM juga bercadang untuk melaksanakan pengambilan khas dalam kalangan Kor Suksis sebagai langkah menghargai komitmen dan minat mereka terhadap badan beruniform di institusi pengajian tinggi.
“Mereka telah menjalani latihan asas seperti kawad dan disiplin, sekali gus memberi kelebihan kepada pegawai Kor Suksis yang diserap untuk lebih mendalami ilmu kepolisan berdasarkan kajian kes.
“Kita juga akan mengkaji semula modul di Pusat Latihan Polis khusus bagi pegawai Kor Suksis agar lebih menumpukan pembelajaran berasaskan kajian kes, kepimpinan serta situasi sebenar dalam bidang kepolisan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE