PETALING JAYA – Susulan kemelut yang tidak berkesudahan, penyanyi Datuk Nora Ariffin memohon maaf secara terbuka kepada isteri pertama suami yang dikenali sebagai Puan Rose dan anak tirinya, Alia bagi meleraikan permasalahan antara mereka.
Menurut Nora, permohonan maaf tersebut dinyatakannya selepas mencuba pelbagai cara untuk menyelesaikan kemelut antara mereka sebelum ini.
“Pihak saya termasuk suami, Dr. Rushdi sudah berusaha dalam pelbagai cara untuk berbaik dan berdamai dengan isteri pertama serta keluarganya.
“Malah saya ingin menyelesaikan kemelut yang berbangkit di mana antara lainnya Dr. Rushdi telah memberikan nasihat, teguran dan beberapa kali cuba mengaturkan pertemuan antara pihak saya, Dr. Rushdi, Puan Rose dan Alia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nora, pihaknya juga telah mengambil beberapa tindakan undang-undang termasuk menghantar jemputan meditasi bagi melakukan rundingan damai dengan pihak tersebut.
“Pada 2 Disember, saya sudah menyerahkan surat kepada Alia bagi jemputan mediasi ditetapkan untuk menyelesaikan setiap masalah, dengan cara terhormat.
“Namun, Alia tidak hadir dan tidak mengendahkan meditasi yang ditetapkan.
“Sejak tahun 2019 pelbagai kenyataan telah dimuat naik oleh Alia dalam media sosial berkenaan saya yang mana benar-benar menjatuhkan reputasi saya dan membangkitkan kebencian masyarakat terhadap saya,” katanya lagi.
Ujarnya, impak daripada kemelut tersebut, dia telah menerima pelbagai tohmahan dan kebencian daripada orang ramai sehingga menjejaskan reputasi sebagai penyanyi.
“Saya telah menerima pelbagai tohmahan tidak berasas dan kebencian yang melampau daripada masyarakat sehingga menjejaskan reputasi serta kerjaya sebagai sebagai penyanyi yang sudah berkecimpung dalam industri ini semenjak tahun 1991 lagi,” ujarnya.
Lebih mengecewakan, respons yang diterima daripada Alia bukan seperti diharapkannya termasuk tiada permohonan maaf sehingga hari ini.
“Balasan Alia amat menyedihkan berikutan saya telah lama mengalami banyak mudarat yang melampau dan kerugian akibat pernyataan-pernyataan yang diterbitkan oleh Alia tersebut.
“Namun begitu, saya pada 24 Februari, saya merendahkan diri memohon maaf secara terbuka demi untuk berdamai dan berbaik dengan Puan Rose dan Alia,” jelasnya.
Baru-baru ini, Nora mendedahkan dalam proses memujuk suami agar menceraikannya buat kali kedua demi memenuhi permintaan anak tiri yang dikatakan sudah lama mengharapkan mereka berpisah.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, berkata, keputusan diambil diharap dapat menghentikan kata-kata nista dan fitnah dilemparkan terhadapnya dalam media sosial.
Konflik membabitkan penghibur asal Kelantan itu dengan anak tirinya dikenali sebagai Alia Rushdi tercetus selepas dia mendedahkan digelar wanita sundal selain mendakwa dilemparkan kata-kata tidak baik anak tirinya itu.
Namun, Alia menafikan dakwaan tersebut selain mahu mendedahkan segala bukti perbualan menunjukkan Nora juga pernah memaki hamun keluarganya.
12 Ogos tahun lalu, Nora membuat kejutan apabila memuat naik video Rushdi menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam Instagram.
Bagaimanapun, penyanyi terbabit memaklumkan perceraian berlaku sebelum tarikh video berkenaan dimuat naik.
Begitupun, tidak lama selepas itu Nora mengesahkan sudah rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September 2024.
Pasangan terbabit sah sebagai suami isteri pada 2021 dan Rushdi merupakan sahabat baik suami Nora sebelum ini, Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE