KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mendapati, terdapat kes-kes tertentu menunjukkan kos rawatan lebih tinggi dikenakan ke atas pesakit di hospital swasta yang menggunakan surat jaminan (GL), berbanding pesakit membayar dahulu dan membuat tuntutan kemudian (pay-and-claim).
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kes-kes tersebut dikesan berdasarkan kajian dibuat ke atas bil tuntutan hospital swasta kepada pihak syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO).
“Berikutan caj yang dikenakan kurang telus, kajian lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami dengan lebih lanjut isu perbezaan caj ini dan langkah susulan yang boleh diambil.
“Kerajaan peka terhadap isu ini, termasuk terhadap pengalaman rakyat yang disuarakan pada Sesi Pendengaran Awam yang dilaksanakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai senarai 10 jenis penyakit yang paling kerap dituntut dalam insurans perubatan oleh rakyat Malaysia dan perbezaan caj hospital swasta mengikut bayar dahulu dan tuntut kemudian serta GL.
Tambahnya, antara jenis-jenis penyakit yang mencatatkan kekerapan tuntutan yang tinggi (tanpa turutan tertentu) untuk rawatan hospital pada tahun 2023 di bawah insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) termasuklah; pneumonia, masalah berkaitan dengan tulang belakang, dan masalah sistem pencernaan.
Antara penyakit lain yang tersenarai adalah, penyakit jantung, kecederaan sendi dan ligamen seperti dislokasi dan terseliuh, apendisitis akut (acute), jangkitan virus dan influenza, masalah lain berkaitan sistem pernafasan seperti bronchitis dan jangkitan salur pernafasan atas (upper respiratory infection), penyakit berkaitan telinga, hidung dan tekak (ENT); dan demam.
“Oleh itu, kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan, menerusi tindakan bersepadu semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan, hospital swasta dan pihak ITO sedang bekerjasama dalam mencari penyelesaian jangka masa panjang dan akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj-caj di hospital swasta.
“Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE