KUALA LUMPUR – Suhu di pusat peranginan tanah tinggi, Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutama dalam tempoh 10 tahun terakhir berdasarkan rekod data meteorologi dari 1969 hingga 2024.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pada 2024 mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di kawasan pelancongan itu dengan purata suhu harian mencecah 18.91 darjah selsius.
“Suhu ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah selsius berbanding purata suhu harian jangka panjang (1991 hingga 2020), iaitu 18.05 darjah selsius.
“Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9 darjah selsius pada Mei 1998 manakala suhu terendah pula 10 darjah selsius pada Februari 1989,” katanyadi Dewan Rakyat,
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai statistik perubahan iklim di kawasan Cameron Highlands serta jumlah kes kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut.
Dalam pada itu,Tiong Sii berkata terdapat 689 kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands direkodkan sejak 1961 hingga kini.
Tambah Tiong Sii Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dengan menerusi projek itu, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenal pasti di kawasan Cameron Highlands.
“Ketika ini, terdapat sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands telah dipasang peralatan sistem amaran awal.
“Semua maklumat bencana geologi tanah runtuh dan cerun kritikal ini dikongsikan bersama agensi dan jabatan berkepentingan yang terlibat bagi tujuan pengurusan dan mitigasi cerun serta kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.