TANAH MERAH – Ibu kepada Hud Aryan Mohd. Nor Hafifi yang hilang sejak malam kelmarin, yakin anak tunggalnya masih ada dan berada dalam keadaan selamat.
Azean Nur Atikah Ramley, 34, berkata, dia percaya Hud Aryan yang berusia setahun tujuh bulan itu berada dalam keadaan lemah kerana sudah lama hilang dan tidak makan.
Menurutnya, dia masih hairan dan bingung dengan kejadian tersebut kerana anaknya itu hilang dalam tempoh tidak sampai dua minit.
“Sebelum kejadian, Hud Aryan ada dengan saya di dapur sebelum ibu saudara datang bersama dengan kami.
“Selepas ibu saudara saya masuk, pintu jeriji rumah masih terbuka dan saya tidak sedar Hud Aryan tiba-tiba keluar. Saya yakin dia masih ada selepas beberapa bomoh dan ustaz memberi beberapa petunjuk bahawa Hud Aryan ada tidak jauh dari kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Aira, Kuala Tiga di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd.Haki Hasbulah hadir ke rumah keluarga mangsa untuk bersama-sama menunaikan solat hajat bersama penduduk kampung.
Azean Nur Atikah berkata, menyedari Hud Aryan hilang, dia menghubungi suaminya Mohd. Nor Hafifi Saidi, 34, yang sedang bekerja di Bukit Gading, di sini kira-kira pukul 7.30 malam.
Katanya, dia dan ahli keluarga memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan anaknya.
“Saya masih dalam keadaan bersedih dengan kehilangan Hud Aryan dan berharap orang ramai terus mendoakan agar anak saya dijumpai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE