ALOR SETAR – Seorang tenaga pengajar sebuah madrasah menangis apabila Mahkamah Sesyen di sini, hari ini tidak membenarkan jaminan ke atasnya bagi pertuduhan kes amang seksual.
Tertuduh berusia 31 tahun didakwa meraba alat sulit remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tandop Utama, di sini pada pukul 2.35 pagi, 22 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh yang turut berdepan tujuh lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.
Peguam Mohd. Imran Farouk merayu satu jumlah yang minimum dengan alasan anak guamnya menyara keluarga, selain tidak melanggar syarat Mahkamah Sesyen Butterworth yang memberikan jaminan terhadapnya.
Nurfatin Mastura bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam yang mana tertuduh dianggap berbahaya kepada mangsa lain, walaupun tidak mengganggu mangsa-mangsa dalam kes dihadapinya.
Pihak pendakwaan memaklumkan, kes yang dihadapi tertuduh hari ini berlaku selepas dia diberikan jaminan bagi pertuduhan terdahulu, selain faktor mangsa-mangsanya yang berlainan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mac ini. – KOSMO! ONLINE