KOTA BHARU – Mangsa banjir di Tanah Merah ketika ini tinggal lapan orang apabila cuaca baik di kebanyakan kawasan di daerah tersebut sehingga membolehkan penduduk pulang ke rumah pada pagi ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan, mangsa yang terlibat terdiri daripada dua buah keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) balai raya Padang Kijang.
Menurutnya, jumlah itu mencatatkan penurunan mangsa banjir berbanding pukul 8 pagi tadi dengan 62 penduduk ditempatkan di tiga PPS.
Sementara itu, Sekreteriat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca semasa pada pagi ini di tujuh daerah termasuk Tanah Merah dilaporkan baik dan mendung.
Menurutnya, hanya daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang sahaja hujan.
Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, paras Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah mencatatkan paras bahaya. – KOSMO! ONLINE