fbpx

Dewan Rakyat: Langkah awal KPKM pastikan bekalan makanan cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan beberapa langkah awal bagi memastikan bekalan makanan utama mencukupi menjelang musim perayaan, sekali gus mengelak berlakunya kenaikan harga barangan di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) , Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bermula bulan ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dianggar membeli 188.89 tan ayam dan 2,486,022 biji telur ayam secara belian terus melalui 42 pusat operasi di seluruh negara.

“Melalui langkah intervensi pemasaran kelapa tua dengan kerjasama FAMA Corporation Sdn Bhd, syarikat itu dianggar akan membeli 640 tan kelapa tua, selain mengimport 576 tan kelapa dari Indonesia.

“FAMA juga membuka pasaran kepada pengeluar bagi memasarkan hasil pertanian terus kepada pengguna, meliputi penjualan sayur, buah dan hasilan ternakan disamping merangka program jualan pra syawal di premis Pasar Tani dan Jualan Agro Madani seluruh negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah awal yang diambil kementerian bagi memastikan bekalan makanan utama mencukupi menjelang Aidilfitri.

KPKM juga katanya, sentiasa memastikan bekalan import mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna berikutan permintaan seperti cili, tomato dan halia adalah tinggi pada bulan sebelum dan bulan perayaan utama di Malaysia.

“Bagi memastikan bekalan makanan dapat diakses pengguna, FAMA akan memastikan bekalan turut dijual menerusi premis pemasaran FAMA dan program jualan terus yang dilaksanakan pada harga yang munasabah,” katanya.

KPKM juga meneruskan dasar membenarkan kemasukan ternakan hidup untuk fidlot dan sembelihan dari negara yang diluluskan untuk import, iaitu Australia dan Thailand.

Selain itu, KPKM turut meneruskan kemasukan daging lembu/kerbau sejuk beku dan daging ayam serta keratan ayam dari negara pengeksport yang diluluskan seperti, Australia, Brazil, Thailand dan India. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI