LONDON – Penduduk sebuah pekan kecil di Dorset, England digemparkan dengan kemunculan gumpalan putih misteri yang ditemukan terdampar di beberapa buah pantai, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Penemuan itu berlaku dari Pantai Alum Chine hingga ke Pantai Hengistbury Head di Bournemouth.
Beberapa pengunjung menyifatkan gumpalan itu seperti cat putih, minyak sawit dan melekit serta mempunyai bau seperti gam.
Ada di antara mereka membuat spekulasi bahawa gumpalan itu berasal dari doh, kulat, acuan atau lilin.
Ahli Kabinet Majlis Bandaraya Bournemouth, Richard Herrett berkata, pihaknya telah mengumpul sampel bahan putih itu untuk dianalisis.
“Gumpalan itu masih kekal di beberapa lokasi dan kami menjangkakan ia adalah cat putih.
“Kami akan terus memantau keadaan dan meminta pengunjung untuk mengelakkan diri serta menjauhkan kanak-kanak dan anjing daripada terkena bahan itu,” tambahnya. – AGENSI