TANAH MERAH – Bapa kepada seorang kanak-kanak yang hilang sejak malam kelmarin, Hud Aryan Mohd. Nor Hafifi mengesyaki anak tunggalnya itu berada di alam lain selepas mendapat petunjuk daripada beberapa bomoh.
Mohd. Nor Hafifi Saidi, 34, berkata, dia mengesyaki anaknya yang berusia satu tahun tujuh bulan itu masih ada, namun berada dalam keadaan lemah kerana tidak makan dan menyusu lebih 48 jam.
“Saya bersama keluarga terdekat dan penduduk kampung cuba mencari di kawasan hutan di belakang rumah yang dipenuhi rumpun buluh dan pokok durian.
“Saya rasa dia masih ada. Kita sedang berusaha menarik Hud Aryan keluar dari alam itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Kampung Aira, Kuala Tiga di sini hari ini.
Menurutnya, keluarganya tidak putus-putus mengadakan solat hajat memohon agar Hud Aryan ditemui dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman berkata, operasi mencari mangsa Hud Aryan bermula pukul 10 pagi ini dengan menumpukan pencarian di sekitar kawasan hutan dan parit.
Katanya, Unit Anjing Pengesan (K9) turut membantu usaha pencarian kanak-kanak itu. – KOSMO! ONLINE