fbpx

Pencarian MH370: Ocean Infinity hantar kapal paling canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPAL Armada 7806 yang digunakan untuk mencari bangkai pesawat MH370. - Foto oceaninfinity.com

DARWIN, Australia – Sebuah firma berpangkalan di Britain dan Amerika Syarikat menghantar kapal paling canggih seumpamanya dari segi teknikal untuk menjelajah Lautan Hindi bagi mencari pesawat Malaysia Airlines 370 (MH370), lapor portal berita MailOnline semalam.

Pencarian terbaharu itu dilakukan selepas pesawat tersebut hilang 11 tahun lalu semasa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Syarikat kapal robotik, Ocean Infinity ditawarkan bayaran £55 juta (RM308 juta) oleh kerajaan Malaysia sekiranya berjaya mengesan pesawat yang hilang pada Mac 2014 itu, dengan 239 orang berada di dalamnya.

Syarikat tersebut telah melancarkan pencarian dalam beberapa hari kebelakangan ini bagi mendahului ketibaan musim sejuk di Hemisfera Selatan.

Pencarian akan menumpukan imbasan awal dasar lautan di kawasan yang tidak diberi perhatian mencukupi semasa misi terdahulu.

Kapal sokongan Ocean Infinity, Armada 7806 yang membawa kenderaan bawah air berautonomi (AUV), telah digunakan di zon pencarian 1,931 kilometer dari Perth, Australia pada hujung minggu lalu untuk mencari MH370. 

Armada 7806 akan meneroka tiga atau empat titik panas, di mana penyelidik-penyelidik percaya pesawat itu mungkin berada. 

Kawasan pencarian agak kecil, merangkumi sekitar kira-kira 15,021 kilometer persegi tetapi seorang jurutera aeroangkasa bersara yang pernah bekerja dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Richard Godfrey berkata: “Kebarangkalian untuk menemui MH370 adalah 50-50.

“Orang ramai menganggap dasar lautannya rata tetapi sebenarnya ia adalah tempat yang mengerikan. 

“Ia dilitupi dengan ngarai dan cenuram, gunung laut dan gunung berapi hitam dengan tekanan besar dan suhu hanya sedikit di atas sifar.”

Pada 2014, pasukan yang diketuai Australia menjelajah 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi tetapi hampir tiada kesan pesawat itu, dengan hanya beberapa serpihan ditemui.

Walaupun pencarian yang dilakukan selepas bencana itu dianggap terbesar dalam sejarah penerbangan, kebanyakan serpihan MH370 tidak pernah ditemui. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI