MAHKAMAH di London memutuskan kumpulan The 1975 tidak bertanggungjawab atas pembatalan Good Vibes Festival di Sepang yang mencetuskan kontroversi pada Julai 2023.
Hakim William Hansen dalam penghakimannya menjelaskan kumpulan terbabit tidak mengetahui garis panduan ditetapkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), undang-undang dan peraturan persembahan di Malaysia.
Susulan itu, Hansen menggugurkan dakwaan tersebut selain menegaskan tidak melihat sebarang alasan kukuh untuk meneruskan perbicaraan.
Memetik laporan Associated Press, Hansen juga mengarahkan penganjur festival, Future Sound Asia (FSA) membayar kos gumanan berjumlah RM557,224.
Sementara itu, peguam The 1975, Edmund Cullen menegaskan tuntutan dibuat sebagai tidak berasas apabila penganjur menyalahkan anggota band asal Cheshire, England itu.
Bagaimanapun, peguam mewakili FSA, Andrew Burns pula berkata anggota kumpulan terbabit sengaja mencetuskan provokasi terhadap pihak berkuasa Malaysia dengan aksi melampau yang dipamerkan.
Terdahulu, persembahan The 1975 di Good Vibes Festival di Litar Antarabangsa Sepang 21 Julai 2023 dihentikan serta merta, bahkan acara yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari dibatalkan.
Tindakan keras diambil pihak berkuasa selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan aksi biadab termasuk memegang botol arak, berada dalam keadaan mabuk dan meludah ke arah penonton.
Matty juga menghina undang-undang berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia sebelum mencium pemain bass kumpulan berkenaan, Ross McDonalds.
FSA kemudian memfailkan saman terhadap The 1975 di mahkamah pada Julai 2024 atas dakwaan kumpulan tersebut sebagai punca festival muzik mega terbabit dibatalkan.
Syarikat berkenaan menuntut ganti rugi sebanyak RM11.25 juta kerana mendakwa The 1975 Productions LLP melanggar kontrak ditetapkan.
Sementara itu, FSA menyatakan belum bersedia memberikan sebarang maklum balas terhadap keputusan mahkamah.
“Kami belum ada sebarang komen lanjut buat masa ini,” kata wakil penganjur dalam kenyataan ringkas kepada media. – KOSMO! ONLINE