fbpx

Gagal seludup anak pokok lebih RM2 juta dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori yang membawa anak pokok durian jenis black thorn, pokok laici dan pokok longan seludup yang ditahan di Kampung Parit Air, Rantau Panjang kelmarin. FOTO IHSAN PGA

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis anak pokok buah-buahan dan petai yang bernilai lebih RM2 juta selepas menahan dua buah lori dalam serbuan berasingan di sini kelmarin.

Kedua-dua rampasan melibatkan anak pokok durian belanda, durian jenis black thorn, laici longan dan petai itu dijalan semasa anggota PGA menjalankan tugasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, rampasan dijalankan selepas anggota bertugas menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kedap di sini kira-kira pukul 10 malam.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu membawa kepada penemuan lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 400 pokok petai yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Tanaman yang dianggarkan bernilai RM912,000 disyaki sudah mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Pemandu lori yang berusia 41 tahun itu dipercayai menjadi penghantar kepada kesemua tanaman tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan kedua pula dijalankan kira-kira 20 minit selepas tangkapan pertama di Kampung Parit Air di sini selepas menahan sebuah lori di kawasan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebanyak 1,000 anak pokok durian jenis black thorn, 8,000 pokok laici dan 5,500 pokok longan yang dipercayai diseludup dari Thailand dengan anggaran keseluruhan bernilai RM1.12 juta.

“Siasatan lanjut turut mendapati tanaman itu juga mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Pemandu lori berusia 36 tahun itu dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ bagi menghantar tanaman tersebut sebelum dijual ke pasaran tempatan,” ujarnya.

Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua pemandu lori itu dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI