SEPANG- Seorang lelaki warga emas dipenjara enam bulan selepas gagal membayar denda sebanyak RM30,000 yang dikenakan terhadapnya kerana memuat naik kandungan bersifat palsu berkenaan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRRa) ke-268 hari ini.
Tertuduh, Johari Ismail, 67, melakukan kesalahan berkenaan menerusi aplikasi Facebook miliknya pada 8 Februari lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman tersebut hari ini di bawah pertuduhan seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Katanya, ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tertuduh berusia 67 tahun ditahan lewat malam semalam sejurus selepas waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah akibat kegagalannya hadir ke
prosiding pertuduhan.
“Dia akan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE