PADANG BESAR – Hasil bedah siasat terhadap mayat warga emas yang ditemukan di Kampung Gua Beringin, Chuping, dekat sini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah mengesahkan kematian Kamardin Pin, 61, sebagai mati mengejut.
“Kami menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi keluarga mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bekerja sendiri dan sering masuk ke hutan berhampiran rumahnya bagi mencari tanah baja.
“Orang ramai juga diingatkan untuk lebih berhati-hati dalam penyebaran maklumat bagi mengelakkan gangguan terhadap ketenteraman awam,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.