NILAI – Skuad berbasikal wanita negara terus mencipta sensasi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 apabila berjaya membolot dua pingat emas buat kem Malaysia di Velodrom Nasional, hari ini.
Pelumba elit wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri dan pelumba remaja, Sawda Hasbullah membuktikan mereka adalah pelumba masa depan selepas mengungguli kategori masing-masing.
Nurul Izzah mengotakan janjinya apabila meraih emas dalam acara keirin sejurus menewaskan pencabar utama dari Korea Selatan, Kim Ha Eun, yang meraih perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba China, Guo Yufang.
Kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Izzah mempertahankan emas yang pernah dirangkulnya pada edisi lepas di New Delhi, India.
“Saya tak menjangkakan dapat menewaskan Sato yang baru saja menjuarai Kejohanan Dunia di Denmark tahun lalu. Kejayaan ini membakar semangat saya untuk terus memberikan aksi terbaik dalam acara 1km ujian masa nanti,” kata Izzah.
Sementara itu, pelumba remaja sensasi negara, Sawda yang sebelum ini memenangi emas dalam acara ujian masa 1km terus mencuri tumpuan apabila menutup kempen ACC dengan merangkul emas kedua dengan muncul juara dalam acara pecut individu remaja wanita.
Sawda, 17, berjaya menundukkan wakil Korea Selatan, Park Hye Rin, dengan kemenangan 2-0 di pentas final.
“Saya benar-benar keletihan, tapi sangat gembira dapat menghadiahkan emas. Saya terlepas peluang dalam acara pecut berpasukan dan keirin, jadi saya bertekad untuk menang di sini. Ini pengalaman berharga buat saya untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya. -KOSMO! ONLINE