KUALA LUMPUR – Langkah pelarasan saiz Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), yang bakal dimuktamadkan mejelang pertengahan tahun ini dimulakan dengan kakitangan di peringkat pengurusan, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Beliau menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan usaha penyusunan semula tenaga kerja syarikat minyak negara itu adalah untuk melindungi pengurusan kanan, sementara kakitangan di bawah yang akan terjejas.
“Ia akan bermula daripada peringkat pengurusan terlebih dahulu.
“Kami akan berhati-hati dan melakukannya secara berstruktur. Dan bagi mereka yang terjejas, kami akan berurusan dengan mereka secara terhormat dan saksama,” katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan prestasi kewangan Petronas hari ini.
Bagi tahun kewangan 2024, keuntungan selepas cukai Petronas merosot kepada RM55.1 bilion, daripada RM80.7 bilion pada 2023 dan RM101.6 bilion pada 2022.
Muhammad Taufik menambah, terdapat perbezaan besar antara apa yang beliau panggil sebagai ‘right sizing’ dan pembuangan pekerja, yang mana usaha pelarasan saiz yang sedang dilaksanakan Petronas adalah bagi memastikan operasi yang optimum dalam landskap industri serta teknologi semasa dan bukannya dilakukan kerana terdesak.
“Ini bermakna kami mentakrifkan semula cara kami mahu beroperasi, apa portfolio aset yang kami ada dengan cara yang paling cekap, untuk proses dan organisasi.
“Anda lihat kepada tenaga kerja dan sekiranya ia berlebihan dan bukan seperti mana yang anda mahu, anda betulkan saiznya jadi perniagaan mampu kekal untung.
“Apabila anda mendengar pemberhentian pekerja diulang berulang kali, ia adalah pada titik terdesak, di mana syarikat tidak dapat menampung kos,” katanya. – KOSMO! ONLINE