PENYANYI legenda R&B, Roberta Flack yang terkenal dengan lagu Killing Me Softly With His Song meninggal dunia pada usia 88 tahun, semalam.
Khabar duka itu dikongsikan wakil pengurusannya, Elaine Schock yang memaklumkan mendiang pergi dengan tenang dan dikelilingi ahli keluarga.
“Kami amat berduka cita dengan pemergian Roberta Flack. Beliau meninggal dunia dikelilingi keluarga tercinta.
“Roberta memecahkan pelbagai halangan dan rekod. Beliau juga seorang pendidik yang berjasa,” kata kenyataan tersebut.
Kerjaya nyanyian penerima Anugerah Grammy sejak 1968 berakhir tiga tahun lalu selepas mengumumkan dirinya tidak lagi mampu menyanyi disebabkan ALS atau penyakit Lou Gehrig.
ALS adalah penyakit yang menyerang sistem saraf bermula otak hingga ke tulang belakang sekali gus menurunkan pergerakan motor pesakit.
Imbas perjalanan karier seninya, selepas menghabiskan hampir sedekad sebagai guru di Washington D.C dan membuat persembahan, namanya menjadi sebutan seluruh dunia pada 1972.
Ini kerana beliau membawakan lagu The First Time Ever I Saw Your Face yang dipaparkan dalam filem lakonan aktor tersohor pada era itu, Clint Eastwood.
Karya tersebut sebenarnya sudah dikeluarkan tiga tahun lebih awal dalam album sulungnya terbitan Atlantic Records namun dipromosikan sebagai single hanya selepas filem terbabit ditayangkan.
Dalam beberapa minggu sahaja lagu tersebut berada di kedudukan nombor satu carta Billboard, bahkan popularitinya terus memuncak selepas kejayaan Killing Me Softly With His Song pada 1973 dan Feel Like Makin’ Love setahun kemudian.
Lebih mengujakan, pada 1973 dan 1974 juga, beliau memenangi trofi utama Anugerah Grammy iaitu Record of The Year selain meraih trofi kategori Song of The Year.
Dilahirkan sebagai Roberta Cleopatra Flack di Black Mountain, North Carolina pada 10 Februari 1937, mendiang dibesarkan di Arlington, Virginia, berdekatan Washington D.C.
Keluarganya berbakat besar dalam muzik dan cenderung terhadap muzik gospel membuatkan Roberta mula bermain piano sejak kecil.
Bakat luar biasa yang dimiliki melayakkannya menerima biasiswa muzik di Universiti Howard, Washington D.C pada usia 15 tahun.
Beliau pernah berkahwin dan kemudian bercerai dengan pasangannya Stephen Novosel pada 1972 serta dikurniakan seorang anak lelaki, Bernard Wright juga penggiat muzik. – KOSMO! ONLINE