JAKARTA – Berpuluh-puluh individu didakwa anggota tentera Indonesia menyerang balai polis Tarakan, wilayah Kalimantan Utara malam semalam, menyebabkan lima anggota cedera, lapor laman berita Tempo.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan), kumpulan Tentera Nasional Indonesia (TNI) itu dikatakan membawa batu, kayu dan besi.
Mereka pada awalnya tiba dengan menaiki trak berwarna hijau yang berhenti berhampiran balai polis tersebut.
Lebih 20 anggota kemudian menuju ke balai polis Tarakan lalu memukul polis yang sedang berkawal.
Kumpulan penyerang turut merosakkan beberapa peralatan di balai polis termasuk meja, kerusi dan barangan kaca.
Beberapa anggota polis lain kemudian tiba di lokasi kejadian, namun mereka turut dibelasah.
Ketua Turus Tentera VI/Mulawarman, Kolonel Kav Kristiyanto berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan sedang melakukan siasatan.
“Kami menerima maklumat berhubung insiden di Tarakan yang melibatkan anggota TNI dan polis.
“Kami sudah menyelaras dengan polis Tarakan untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Tambah Kristiyanto, anggota TNI yang terlibat dalam serangan itu sudah dipanggil untuk disoal siasat dan berjanji akan menghukum mana-mana anggota yang bersalah.
Sementara itu, laman berita Kompas melaporkan, insiden tersebut berpunca daripada salah faham antara anggota, dan tidak melibatkan institusi berkenaan.
“Ia berpunca daripada salah faham antara individu, bukan masalah antara institusi. TNI dan Polis Republik Indonesia tetap teguh dalam menjaga keamanan di wilayah Kalimantan Utara termasuk Tarakan,” katanya. – AGENSI