PETALING JAYA – Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) mencatat perolehan RM6.22 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, turun sebanyak 11.7 peratus daripada paras jualan rekod yang tinggi yang dicapai pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, prestasi jualan ini mengesahkan kekuatan dan daya tahan portfolio syarikat yang terjejas pada tahun 2024 oleh keraguan pengguna dan kekangan dalam kuasa beli.
Menurut beliau, kesemua elemen ini telah menunjukkan pemulihan menjelang suku terakhir tahun lalu.
Syarikat merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM544.4 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM415.6 juta, angka yang kukuh walaupun terdapat penurunan berbanding garis dasar keuntungan 2023 yang tinggi.
“Seperti dikongsikan dalam kemas kini suku tahunan sebelum ini, kami berdepan dengan persekitaran operasi yang kompleks dan mencabar pada tahun 2024, dengan perbelanjaan pengguna yang berhati-hati dan keraguan yang berterusan terhadap jenama global.
“Keupayaan untuk mengharungi cabaran ini adalah bukti dedikasi dan keupayaan pasukan yang sentiasa menumpukan pada misi untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi serta diperakui halal, memenuhi selera rakyat di bawah jenama yang mereka percayai, dengan produk yang menjadi kebanggaan Malaysia serta dieksport ke seluruh pelusuk dunia.
“Tumpuan berterusan kini adalah ke arah memacu kecekapan dan pengoptimuman kos membantu mengurangkan sebahagian kesan daripada jualan yang rendah dan kos komoditi yang tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Aranols menerangkan, sepanjang 2024, Nestle akan mempertajamkan lagi kelebihan operasinya untuk berjaya bersaing dan memenangi pasaran yang amat kompetitif.
Mengulas lanjut tentang hala tuju tahun ini, Aranols memaklumkan, syarikat menjangkakan untuk kembali ke tahap pertumbuhan yang sihat dengan keuntungan yang berdaya tahan dan aliran tunai yang kukuh, didorong oleh portfolio produk yang luas, ekuiti jenama yang kukuh serta rangkaian jualan dan pengedaran yang meluas.
“Kami akan terus mengukuhkan infrastruktur pembuatan kami, mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport halal terbesar bagi Kumpulan Nestle di peringkat global, sambil menyumbang kepada keselamatan makanan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Strategi jangka panjang kami berpaksikan hasrat murni di mana kecekapan membiayai pelaburan jenama yang membantu meningkatkan pertumbuhan dan meluaskan pasaran serta menyokong pembiayaan inovasi,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE