KUALA LUMPUR – Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik mewah Mercedes-Maybach EQS 680 untuk pasaran Malaysia pada harga bermula dari RM1,088,888.
SUV elektrik mewah ini meletakkan standard baharu era Maybach yang menggabungkan kecemerlangan automotif termaju dan mobiliti elektrik.
Mercedes-Maybach EQS 680 dilengkapi dengan pelbagai ciri premium seperti sistem suspensi adaptif Airmatic, stereng roda belakang, rim aloi Maybach 21 inci dan sistem pencahayaan Digital Light.
Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Mercedes-Benz Malaysia, Nadia Trimmel berkata, Mercedes-Maybach EQS SUV ini adalah kenderaan elektrik pertama sepenuhnya yang didedikasikan untuk model Maybach.
“Ia membawa dimensi baharu kepada perjalanan kenderaan yang senyap dan mudah ke arah tenaga baharu.
“Model SUV ultra mewah ini meluncur tanpa tenaga dari pemacu elektriknya, kenderaan ini disesuaikan untuk pengalaman di luar imaginasi pelanggan Mercedes-Maybach, kami komited untuk memenuhi jangkaan tinggi mereka,” katanya pada pelancaran model itu di sini.
Kenderaan tersebut dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 658hp dan tork 950Nm, serta boleh memecut dari pegun hingga 100 kilometer per jam (km/j) dalam masa 4.4 saat dengan kelajuan maksimum 210km/j.
Menerusi bateri 118 kWh, SUV mewah ini boleh mencapai jarak gerak sejauh 602 kilometer serta menyokong pengecasan AC sehingga 22kW dan pengecasan pantas sehingga 200kW.
Rekaan luar SUV ini menonjolkan identiti mewah Maybach dengan gril ikonik, lampu belakang LED 3D Helix Design.
Bagi ciri keselamatan pula, Mercedes-Maybach EQS 680 dilengkapi 11 beg udara, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh, Driving Assistance Package Plus dan Active Lane Keeping Assist.-KOSMO! ONLINE