fbpx

Bapa tersepit tidak bergerak lepas kereta dihempap pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat Aszehari (gambar kecil) yang dihempap pokok di Kampung Bukit Kuda, Klang kelmarin.

KLANG – Seorang remaja me­ngalami pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang ha­yatnya apabila menyaksikan bapanya maut di depan mata apabila dihempap sebatang pokok besar dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini kelmarin.

Nur Asyifa Aszehari, 13, berkata, dia tidak menyangka bapanya, Allahyarham Aszehari Ansar, 46, pergi dalam keadaan penuh tragis apabila tersepit di dalam kereta jenis Mercedes Benz selepas mengambilnya pulang dari sekolah.

Kata pelajar SMK Perempuan Bukit Kuda itu, kejadian pada pukul 6.31 petang itu berlaku sekelip mata ketika dia berada di tempat duduk belakang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jawa di sini.

“Ketika kejadian, hujan sudah berhenti dan tidak banyak ken­deraan. Tiba-tiba sebatang pokok besar terus hempap kereta dan ayah tidak sempat hendak elak.

“Saya terus menjerit kerana terkejut dengan kejadian dan tidak nampak sebarang kilat menyambar pokok itu. Saya di­selamatkan oleh orang ramai yang membuka pintu belakang,” katanya kepada Kosmo!.

Semalam Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki maut manakala anak perempuannya terselamat apabila kereta yang mereka naiki dihempap pokok.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, enam anggota termasuk pegawai daripada Ba­lai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Menurut Nur Asyifa, dia tidak dapat membantu bapanya yang sedang tersepit ketika itu dan ia merupakan kejadian yang tidak dapat dilupakan sepanjang ha­yatnya.

Sementara itu isteri Allahyarham, Siti Norwani Mohamed berkata, dia tidak mengikut arwah mengambil anak di sekolah kerana sedang memasak di rumah.

Katanya, selalunya dia akan pergi bersama untuk mengambil anak tunggal mereka balik sekolah dan makan di luar.

“Biasanya mereka akan sampai antara lima hingga 10 minit sahaja. Tetapi sampai pukul 6.30 petang pun mereka masih tidak tiba-tiba.

“Tidak lama kemudian, seorang jiran datang bawa Nur Syifa ke rumah dengan menunggang motosikal dan memaklumkan suami telah dihempap pokok. Saya kemudian pergi ke sana dengan membonceng motosikal itu,” katanya.

Menurut Siti Norwani, dia terkejut melihat saiz pokok itu yang menyebabkan kereta mereka remuk hingga bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mayat suaminya.

“Saya amat terasa dengan kehilangan suami kerana dia seorang penyayang dan sentiasa mengambil berat mengenai saya dan anak,” katanya sambil menangis.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Hamidah Hassan, 70, berkata, Ramadan kali ini amat sayu ke­rana kehilangan anak sulung kesayangannya.

“Arwah bersama dua anak lagi hampir setiap hari datang ke rumah untuk berbuka pada Ramadan. Kami berbual setiap hari dan sering bersarapan bersama,” katanya.

Jenazah Allahyarham Aszehari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI