fbpx

Kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kapal tangki berlabuh dan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Buloh ditahan APMM kelmarin.

LUMUT – Tindakan sebuah kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak di kedudukan 4.4 batu nautika selatan Pulau Buloh dekat sini kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot Penggalang 13 yang sedang melaksanakan Op Pintas telah mengesan sebuah kapal tangki berlabuh dan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Buloh pada pukul 1.15 tengah hari.

“Kapal yang berdaftar di Sierra Leone itu membawa muatan minyak dalam perjalanan dari Linggi, Melaka ke Indonesia bersama 23 orang kru terdiri daripada warga India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka berumur antara 30 hingga 65 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kapal tersebut telah ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) (Pindaan) 2016 kerana disyaki melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pihak berkaitan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

“Kesemua kru bersama kapal ditahan di South East Point (SEP) Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, penahanan itu membuktikan APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

Tegasnya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” ujarnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI