IPOH – Kerajaan berlapang dada dan bersikap terbuka menerima teguran berhubung kerugian berjumlah RM2.66 bilion oleh 40 buah syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan seperti mana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun belum meneliti secara terperinci laporan berkenaan namun berharap agar semua syarikat pegangan dan anak syarikat mematuhi garis panduan yang ditetapkan Perbendaharaan.
“Ini juga diikuti sepenuhnya oleh syarikat yang berada di mana-mana badan berkanun. Kita harap apabila perkara ini menjadi laporan tahunan dan dibentangkan untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen, maka kita berlapang dada.
“Kita juga berhati terbukalah untuk menerima sebarang teguran yang telah dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara,” katanya ketika ditemui selepas meluangkan masa menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin di Desa Seri Ampang, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kesusutan tertinggi pada 2023.
Berdasarkan LKAN 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, agensi itu menerusi 21 syarikat subsidiarinya mencatatkan kerugian bernilai RM941 juta. – KOSMO! ONLINE