fbpx

‘Biar saya tanggung kesakitan anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Nur Akma Adrian yang masih memerlukan bantuan oksigen di Hospital Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – “Tuhan saja tahu bagaimana perasaan saya. Jika boleh berganti, biarlah saya yang menanggung kesakitannya.”

Itu luahan pilu seorang ibu, Rajimah Ratag, 33, yang kini ha­nya mampu berdoa tanpa henti demi kesembuhan bayinya, Nur Akma Adrian Ikmalisam berusia enam bulan yang sedang bertarung nyawa akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Rajimah berkata, bayinya tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda kritikal pada awal pagi Sabtu lalu, memaksanya bergegas ke hospital.

“Dalam pukul 3 pagi, saya terjaga dan terdengar tangisan anak. Saya sangka dia mahu menyusu, tetapi menolak. Tidak lama kemudian, tiba-tiba kaki dan tangannya bertukar biru.

“Sebab terlalu cemas, saya dan suami segera membawanya ke hospital. Sampai sahaja di sana, doktor membawanya ke zon kritikal sebelum mengesahkan tahap oksigennya merosot dengan teruk,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bukan sahaja paru-paru anaknya dijangkiti kuman, malah bakteria turut dikesan dalam darahnya.

Susulan itu, bayi kecil tersebut terpaksa ditidurkan untuk me­nerima rawatan lanjut.

“Doktor ada memaklumkan terdapat sedikit perkembangan positif setakat ini, namun kea­daan anak saya masih dalam fasa kritikal.

“Anak saya masih memerlukan bantuan oksigen dan kini me­nerima rawatan antibiotik di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi Rajimah, tiada apa yang lebih membahagiakan selain dapat melihat Nur Akma Adriana kembali tersenyum dalam dakapannya.

“Saya tidak meminta lebih, hanya doa daripada semua supaya anak saya dapat kembali sihat,” ujarnya penuh harapan.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh me­nyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 564892142603 atas nama Rajimah Ratag.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI