fbpx

‘Pendek? Jangan risau industri tak kejam dengan kita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MULA dikenali menerusi filem KAMI The Movie, Juvana dan seterusnya, Bunohan, Zahiril Adzim tidak menjadi tinggi untuk dilihat cemerlang setiap kali muncul dalam filem penuh drama mahupun aksi.– SYAKIR RADIN

BERTUBUH sederhana atau pantas juga disifatkan bukan bersaiz peragawan, faktor fizikal tidak pernah menjadi satu kerisauan buat aktor Zahiril Adzim sejak kali pertama mencanai impian bergelar pelakon.

Pernah tiba-tiba ‘trending’ dengan watak Falah menerusi drama Andai Tiada Dia, Zahiril tidak pernah menganggap ketinggian 168 sentimeter (sm) yang boleh dikatakan agak rendah dalam kalangan aktor sebagai kekurangan diri yang perlu dibimbangkan.

“Selalunya pihak produksi memang akan tanya siapa heroin yang saya nak, termasuk sama ada saya okey kalau pelakon wanita itu lebih tinggi daripada saya.

“Jawapan saya semestinya tak kisah. Kalau heroin lebih tinggi, itu bukan masalah saya untuk fikir pun, itu kerja produksi bagaimana cara untuk nampak sama tinggi atau sebagainya.

“Sebenarnya saya tidak pernah kisah pun kalau dilihat lebih rendah dalam televisyen,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan program Ramadan dan Aidilfitri Unifi TV baru-baru ini.

Bintang filem Ada Hantu itu berkata, tugasnya adalah sebagai seorang penglipur lara dan isu ketinggian tidak sepatutnya menjadi kerisauan atau ketakutan dalam diri.

Bahkan, isu ketinggian tidak akan pernah menjadi penghalang buatnya terus mempersembahkan bakat.

“Dahulu isteri saya, Shera Aiyob pernah minta izin untuk pakai kasut tumit tinggi sebab risau kalau saya akan nampak lebih rendah.

“Tapi saya cakap tak ada masalah pun sebab itu bukan satu halangan besar untuk saya.

“Kerja saya adalah pelakon dan ada ‘benda’ nak dipamerkan. Kalau saya model, mungkin saya akan fikir banyak,” katanya.

Aktor berusia 38 tahun itu menambah, hero pendek tidak pernah menjadi perdebatan dalam industri seni di negara luar terutama Hollywood.

Malah, katanya ramai pelakon di Hollywood tidak memiliki tubuh tinggi lampai kekal relevan sehingga ke hari ini seperti Tom Cruise dan Dustin Hoffman.

“Saya pelakon dan ada ‘barang’ saya sendiri.

“Hollywood pun ada pelakon yang kurang tinggi. Lagi pula kita orang Asia dan rasanya ketinggian sebegini adalah normal.

“Sepanjang tempoh saya berlakon sejak 15 tahun lalu, tak pernah ada isu tentang ketinggian sebab mungkin kita ada benda lain untuk dibuktikan.

“Jadi, kalau ada pelakon lain yang tinggi macam saya, jangan risau sebab industri tak kejam dengan kita,” ujarnya.

Dalam masa sama, Zahiril menegaskan tidak pernah berasa kecil hati sekiranya dilabel sebagai hero pendek.

“Tidak jadi isu pun dan tak pernah pun orang tolak saya daripada mana-mana tawaran lakonan sebab pendek.

“Kalau nak ambil atas bakat saya, mereka pasti akan berusaha mencari pasangan pelakon yang sesuai,” jelasnya.

Zahiril turut mengakui pernah ditegur peminat yang mempersoalkan ketinggiannya sebelum ini.

“Ada saja peminat tegur saya dan cakap ‘eh pendeknya’ tapi saya tak ada masalah pun.

“Dia kata tengok dalam televisyen macam tinggi, kat luar kecil sahaja. Semua itu normal sebab mereka tak pernah tengok saya secara bersemuka.

“Apa pun, semua ini bukan satu halangan, saya sudah berlakon lebih sedekad. Paling penting kena jaga kualiti dan seimbangkan semua itu dengan hasil kerja,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI