fbpx

‘Latihan PLKN tak penat, cuma ramai yang takut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Irainjithan ketika ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sering dianggap mencabar dan memenatkan, tetapi bagi seorang peserta Siri 1/2025 ini, latihan yang dijalani tidaklah memenatkan seperti yang disangka.

Sebaliknya, N. Irainjithan, 22, berpendapat bahawa hanya mereka yang kurang berkeyakinan atau takut akan cabaran merasakan PLKN sebagai sesuatu yang membebankan.

Katanya, setiap pelatih tidak dipaksa melakukan tugasan di luar kemampuan dan jurulatih yang bertanggungjawab akan sentiasa memberi kata-kata semangat untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

“Latihan ini tidak terlalu penat, tetapi ramai yang beranggapan ia sangat mencabar. Kalau saya tidak boleh buat, kami tidak dipaksa untuk tamatkan (satu-satu latihan) tetapi digalakkan untuk mencuba.

“Apa yang penting adalah ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di sini, itulah yang paling berharga,” katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 di sini, hari ini.

Tambahnya, pengalaman selama 45 hari berada di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini amat menyeronokkan selain latihan yang diberikan bertujuan membentuk disiplin dan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

Irainjithan juga berkongsi impian untuk menjadi seorang amggota tentera suatu hari nanti dan peluang terpilih sebagai peserta siri pertama ini menjadikannya lebih bersemangat memasuki dunia ketenteraan.

“Saya memang minat jadi tentera, tapi kena usaha lagi untuk prosesnya (jadi tentera)lancar,” katanya.

Tambahnya, dia akan mula menjalani kehidupan yang lebih sihat terutama untuk memastikan berat badan mencapai kriteria seorang Angkatan Tentera Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI