fbpx

Buruh tak sangka arwah isteri ditaja kerajaan sertai skim suri rumah Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zikri (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Nora (dua dari kanan) semasa Program Ziarah Prihatin di rumahnya di Kampung Jalan Bayam, Kota Bharu hari ini. -Foto ROHANA MOHD.NAWI.

KOTA BHARU – Seorang buruh tidak menyangka arwah isterinya merupakan salah seorang penerima caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang ditaja oleh kerajaan sejak dua tahun lalu.

Ahmad Zikri Ariffin, 38, hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dihubungi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang meminta agar arwah isterinya, Wan Mastura Hasan, 33, mengemaskini akaun sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan kuman pada paru-paru November tahun lalu.

Menurutnya, dia agak terkejut kerana layak menerima pencen penakat sebanyak RM300 sebulan sehingga usianya 55 tahun dan sehingga umur tiga anaknya mencapai 21 tahun.

“Saya juga menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000. Saya akan guna sepenuhnya wang berkenaan untuk perbelanjaan membeli susu anak yang berusia lapan bulan dan dua lagi anak berusia lapan tahun dan 13 tahun.

“Saya juga akan menggunakan wang faedah pengurusan jenazah itu untuk membeli belindan di atas kubur isteri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jalan Bayam di sini hari ini.

Terdahulu Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Ahmad Zikri sempena Program Ziarah Prihatin.

Dalam pada itu, Nora berkata, seramai hampir 3,000 suri rumah di Kelantan yang sudah mendaftar menerima manfaat sejak SKSSR diperkenalkan pada 1 Disember 2022,

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 600 pencarum sudah menerima faedah dengan memperoleh pencen penakat sebanyak RM300 setiap bulan sehingga usianya 55 tahun.

“Pencarum yang terdiri daripada golongan suri rumah terdiri daripada golongan yang berusia 30 hingga 40 tahun. Wanita di Kota Bharu paling ramai mencarum SKSSR sehingga hari ini,

“Justeru, suami perlu membantu mencarum SKSSR untuk isterinya kerana caruman itu memberi manafaat kepada mereka dan anak-anak sekiranya isteri meninggal dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI