BANGKOK – Juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Jorge Martin terpaksa melupakan saingan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram hujung minggu ini selepas mengalami kecederaan serius ketika sesi latihan.
Pelumba berusia 27 tahun itu patah tangan kiri dan mengalami kecederaan tumit kiri selepas terjatuh ketika berlatih di litar karting Menargues, Sepanyol.
Insiden itu berlaku ketika dia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya dalam ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang awal bulan ini.
“Martin mengalami patah kompleks pada radius, beberapa tulang karpal di tangan kiri serta patah tulang tumit (calcaneus) semasa sesi latihan.
“Selepas konsultasi dengan pakar bedah, kami memutuskan untuk menjalankan pembedahan bagi menstabilkan kecederaan itu,” menurut kenyataan rasmi Aprilia Racing.
Martin akan menjalani pembedahan di Klinik Dexeus, Barcelona dan tempoh pemulihannya akan ditentukan selepas segala prosedur selesai dilakukan.
Sebelum ini, pelumba Sepanyol itu dijangka mendapat pelepasan perubatan untuk kembali berlumba di Litar Antarabangsa Buriram, tetapi insiden terbaharu itu sekali lagi menafikan peluangnya untuk membuka musim 2025.
Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Martin, Aprilia mengesahkan bahawa pelumba ujian mereka, Lorenzo Savadori akan beraksi di GP Thailand hujung minggu ini. – AGENSI