PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan kesedaran murid sekolah mengenai aspek keselamatan jalan raya diberi perhatian sewajarnya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, kementerian juga akan memastikan insiden membabitkan seorang murid di sebuah sekolah di Putrajaya baru-baru ini tidak lagi berulang terutamanya di kawasan sekolah.
“Berkaitan dengan keselamatan lalu lintas di sekolah, KPM sudah sekian lama melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberikan kesedaran berkaitan dengan kepentingan keselamatan jalan raya.
“Malah, dalam kurikulum kita juga sisip elemen-elemen berkaitan dengan kesedaran keselamatan di kalangan anak-anak kita mengenai pentingnya menggunakan kemudahan lalu lintas itu dengan sebaik-baiknya.
“Kita juga ada modul JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) yang kita laksanakan bersama dengan Kementerian Pengangkutan sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata, selain melaksanakan pelbagai inisiatif di peringkat kementerian dan kurikulum, KPM pada sama turut mengharapkan bantuan serta sokongan dari pelbagai pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran murid mengenai aspek keselamatan jalan raya.- KOSMO! ONLINE