fbpx

Selangor sambut baik cadangan syarat baharu konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Cadangan Polis Selangor berhubung syarat baharu pemberian permit penganjuran konsert disambut baik oleh kerajaan negeri.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri tiada halangan untuk menggalakkan penganjuran aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat kepada para pengunjung terutama dalam mengelakkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, ini supaya dapat menjana ekonomi khususnya ketika kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) pada tahun ini.

“Dari segi aktiviti memang kita galakkan (aktiviti) yang sihat supaya sektor itu terus berjalan.

“Kita tidak mahu ganggu industri itu dan harus ambil maklum juga industri tersebut memberi sumbangan kepada pelancongan Selangor.

“Tahun ini adalah TMS dengan kita menggalakkan lebih banyak persembahan yang boleh menghiburkan dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat serta boleh menjana ekonomi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Kosmo! pada 21 Februari lalu melaporkan papan tanda atau plakad No to Drugs di laluan masuk konsert akan dijadikan antara syarat permit permohonan penganjuran persembahan di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, ia antara cadangan yang dikemukakan pihaknya kepada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada awal bulan ini susulan kematian empat individu berusia 20 hingga 40-an selepas menghadiri konsert ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway dekat sini.

Suee Lim menegaskan, permohonan lesen di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut diperketatkan bagi bagi penganjuran sama.

“PBT boleh teliti kalau sesuatu kawasan itu melibatkan fasiliti PBT, boleh mereka letak (papan tanda larangan). Tetapi bagi pihak polis jika mereka hendak perketatkan prosedur operasi standard (SOP), kita alu-alukan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI