BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mahu meningkatkan permainan agar mereka mampu lolos ke pentas separuh akhir All England yang akan berlangsung di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.
Sekiranya berjaya, gandingan No. 6 dunia itu mampu menamatkan penantian 18 tahun dan menjadi beregu wanita pertama Malaysia melakukannya pada kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam kelompok empat terbaik di kejohanan berprestij itu adalah menerusi gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty pada 2007.
“Kami pasti menjadikan ini sebagai motivasi, tetapi tidak menganggapnya sebagai tekanan. Kami hanya mahu menikmati permainan dan memberikan yang terbaik di gelanggang.
“Kami mahu lebih tenang dan sabar dalam detik-detik genting. Sebelum ini, kami terlalu ingin menamatkan permainan dengan cepat dan mengambil keputusan untuk melakukan pukulan agresif yang akhirnya memberi kelebihan kepada pihak lawan,” katanya.
Thinaah turut menjangkakan cabaran All England kali ini juga menjadi lebih sukar dengan kehadiran beberapa pasangan beregu baharu Jepun, Korea dan China.
Namun, dia menegaskan bahawa mereka tidak mahu terlalu memberi tumpuan kepada lawan, sebaliknya lebih fokus kepada strategi sendiri.
“Kebanyakan mereka bukan pemain yang tidak dikenali. Mereka pernah berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Jadi, kami hanya mahu beri tumpuan kepada permainan sendiri dan memperbaikinya dari semasa ke semasa,” kata Thinaah.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah hampir menamatkan penantian panjang itu apabila tiga kali berjaya melangkah ke suku akhir dalam empat penampilan pada 2021, 2022 dan 2024.
Pada edisi 2023, pasangan itu terpaksa pulang awal apabila terkandas di pusingan pertama.