LONDON – Arsenal boleh ‘menutup buku’ terhadap harapan mereka menamatkan penantian 21 tahun menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kali terakhir pada 2004 sekiranya merekodkan kekalahan dalam aksi seterusnya.
Meskipun saingan masih berbaki 12 perlawanan tetapi kekalahan ke atas Nottingham Forest dalam aksi seterusnya di City Ground awal pagi esok seakan sudah boleh meranapkan impian menggunung Arsenal musim ini.
Ia berdasarkan kelebihan besar dimiliki Liverpool di tangga teratas dengan kelebihan 11 mata berbanding Arsenal di tempat kedua selain hakikat mereka tewas mengejut 0-1 kepada West Ham United pada Sabtu lalu.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap anak-anak buahnya dapat menjadikan kekalahan itu sebagai peluang terbaik untuk bangkit menunjukkan respons yang lebih positif dan kembali mencatat kemenangan.
“Kami perlu terima hakikat bahawa kekalahan ini amat perit tetapi ia disebabkan persembahan yang sangat buruk. Jadi kami perlu tampilkan aksi yang jauh lebih berbeza dan memenangi perlawanan Rabu ini (awal pagi esok).
“Apa yang kami perlu lakukan sekarang adalah lihat diri sendiri di hadapan cermin dan analisis segala keperitan ini. Harapannya agar kami bangkit ke landasan sebenar,” kata Arteta.
Kegagalan kali ini pastinya perit diterima barisan pemain Arsenal yang sebelum ini menghuni tempat kedua dalam dua musim terakhir berturut-turut sehinggakan kelab itu dilabel seperti ‘Netflix’ yang mana sentiasa menanti musim berikutnya untuk memenangi sesuatu.
Trofi terakhir dimenangi Arsenal adalah Piala FA ketika musim pertama Arteta mengambil alih pada edisi 2020 yang mana ketika itu dunia sedang dilanda pandemik Covid-19. – AGENSI