PETALING JAYA – Selepas mengusik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai jodoh, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini memberi satu lagi ‘bayangan’ kepada orang ramai.
Namun kali ini berkait dengan pelakon dan duda popular, Fattah Amin dan penyanyi, Amira Othman.
Dalam satu hantaran di TikTok, Dr. Zulkifli memuat naik beberapa keping gambar mengenai Majlis Doa Selamat yang diadakan oleh Fattah Amin atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35.
Kata Dr. Zulkifli, kehadiran dirinya adalah untuk menyampaikan tazkirah sempena bulan Ramadan kepada para tetamu yang hadir ke majlis tersebut.
“Sambutan majlis kesyukuran dan doa selamat sempena kedatangan Ramadan adalah antara kebudayaan Melayu yang masih diamalkan di kampung-kampung.
“Adat kebudayaan ini juga selari dengan apa yang dilaksanakan para salafussoleh menjelang Ramadan. Mereka menyambut Ramadan dengan gembira dan saling menasihati untuk melakukan amal soleh.
“Ini kerana Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa dan dapat menemuinya adalah satu nikmat daripada Allah. Moga kita semua dapat menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik dalam hidup kita,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Namun apa yang menarik minat pengguna media sosial adalah di penghujung kapsyen, Dr. Zulkifli turut menyebut ‘username’ Amira Othman meskipun majlis tersebut diadakan oleh Fattah Amin.
Di dalam hantarannya juga terselit salah satu gambar Amira Othman yang mengenakan jubah berwarna putih menghadiri majlis tersebut.
Hantaran dan kapsyen itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan rata-rata menganggap ianya adalah ‘bayangan’ tentang hubungan kedua-dua selebriti itu.
“Ustaz dah muat naik ni, apa tandanya ustaz. Tolong beritahu kami semua,” komen Aina.
“Salam ustaz, kira jadilah dua orang ni ya. Halus tapi sampai,” komen Zulhelmi pula.
“Comel je Dr. Zulkifli ‘mention’ nama Amira di penghujung kapsyen. Semoga Allah memudahkan urusan jika benar apa yang kami rasa benar,” komen Faqena pula.
Terdahulu timbulnya desas desus Fattah Amin dan Amira sedang menjalankan hubungan istimewa setelah mereka berdua terlibat dalam satu projek raya.
Gosip mengenai mereka memuncak apabila ada pihak yang mendakwa Fattah dan Amira sudah pun mengikat tali pertunangan.
Bagaimanapun, Fattah Amin menafikan dakwaan kononnya sudah melangsungkan pertunangan dengan penyanyi Amira seperti yang tular sejak Ahad lalu.
Mengakui terkejut dengan gosip berkenaan, Fattah menganggap khabar angin itu mungkin timbul kerana komen netizen yang mendoakan mereka berdua. – KOSMO! ONLINE.