KUALA LUMPUR – Seramai 238,000 penjawat awam mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) setakat 30 November tahun lalu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan memandang serius perkara itu yang menunjukkan isu keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam.
Ujar beliau, Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menyatakan penjawat awam tidak boleh berada dalam keterhutangan kewangan yang serius.
“Statistik ini menunjukkan isu keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam meskipun mereka menikmati kestabilan pekerjaan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai penjawat awam yang berdepan dengan masalah kewangan serius akibat bebanan hutang tinggi.
Zaliha berkata, penjawat awam diwajibkan melaporkan perkara kepada ketua jabatan masing-masing jika mengalami masalah hutang yang serius atau berdepan tindakan undang-undang akibat hutang.
Menurut beliau, ketua jabatan akan memantau situasi pegawai terbabit secara berkala dan, merujuk mereka kepada AKPK bagi mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat kewangan jika perlu.
“Itu antara pendekatan yang boleh diambil oleh ketua jabatan untuk memantau keadaan pegawai kerajaan yang mempunyai keterhutangan kewangan yang serius,” katanya.
Kata beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga dalam proses menambah baik Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.1.3.9 Program Transformasi Minda (PTM)
Jelas beliau, penambahbaikan itu dengan memasukkan modul baharu iaitu Modul Pengurusan Kewangan Peribadi yang digubal bersama AKPK.
Beliau berkata, modul tersebut diperkenalkan sebagai langkah permulaan bagi membantu pegawai lantikan baharu mengurus kewangan mereka dengan lebih bijak dan cekap.
“Ia juga bertujuan memberikan pengetahuan asas tentang cara mengatur kewangan peribadi, mengurus perbelanjaan serta membuat keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE