ROMPIN – Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas haram selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan Sg Jubau, Mukim Keratong, Muadzam Shah di sini kelmarin.
Menurut kenyataan Briged Tenggara PGA, serbuan dalam Op Bersepadu Khazanah kira-kira pukul 12 tengah hari itu mendapati kegiatan melombong emas dilakukan dua lelaki warganegara Kemboja yang gagal menunjukkan lesen perlombongan sah.
“Polis dan UPNP menahan dan merampas peralatan melombong, kenderaan termasuk karpet getah yang mengandungi habuk dan partikel emas kesemuanya bernilai RM96,000.
“Kes disiasat di bawah Akta Enakmen Mineral Pahang 2001 Kanun Tanah Negara Akta 828 dan Sek 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Rompin manakala barang rampasan diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan perlombongan haram daripada terus berleluasa di dalam negara. – KOSMO! ONLINE