LUMUT – Tiga nelayan Myanmar yang menangkap ikan secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 16 kilometer barat muara Bagan Panchor di sini kira-kira pukul 10.10 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua nelayan yang menggunakan sebuah bot pukat hanyut ditahan oleh KM Malawali ketika ia menjalankan rondaan rutin bagi membanteras jenayah maritim di perairan negeri ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh tiga kru warga Myanmar, termasuk seorang tekong yang berusia antara 19 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tangkapan itu dibuat atas pelanggaran Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan surat kebenaran penggunaan kru warga asing dan tidak beroperasi secara usaha sendiri.
Selain itu, Mohamad Shukri berkata, mereka turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja yang diperlukan.
“Kesemua nelayan asing tersebut telah ditahan, manakala bot, peralatan menangkap ikan, serta hasil tangkapan kira-kira 70 kilogram ikan campur telah dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE