GEORGE TOWN – Malaysia menegaskan bahawa negara ini mempunyai pendirian jelas dalam menyokong gencatan senjata di Palestin dan berharap semua pihak yang terlibat mematuhinya.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Malaysia berharap tiada sebarang pelanggaran terhadap gencatan senjata di Palestin berlaku, walaupun menyedari adanya laporan mengenai insiden tertentu.
“Kita jelas dalam keputusan menyokong gencatan senjata dan berharap semua pihak mematuhi perjanjian ini. Kita tahu ada pelanggaran berlaku, tetapi kita tetap berharap tiada pelanggaran gencatan senjata.
“Saya tidak bercakap mengenai pendirian ASEAN dalam soal ini (Palestin) tetapi pendirian Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat), di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, bagi peringkat ASEAN, isu mengenai Palestin itu akan dibincangkan pada Mei nanti ketika Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN berlangsung. – KOSMO! ONLINE