fbpx

Penolong jurutera kanan didakwa terima habuan bernilai RM270,400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang Penolong jurutera kanan sebuah jabatan kerajaan di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 48 pertuduhan menerima barangan berharga berupa wang berjumlah RM270,400, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Farisyal Mohd Alias, 46, bagaimanapum mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Salina Safie.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai penolong jurutera (awam) di Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub, didakwa menerima wang bernilai antara RM500 hingga RM25,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja dengannya.

Tertuduh didakwa telah menerima sebanyak 48 transaksi wang dalam talian bermula dari September 2019 sehingga Disember 2022 bertempat di CIMB Bank cawangan Raub.

Justeru itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya, Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali.

Dalam prosiding Ezuain Farhana mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dikenakan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun Mohd Falihin meminta wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh perlu menjalani rawatan berkala kerana masalah Aritmia yang dihidapinya selain perlu menyara isteri dan tiga anak yang masih bersekolah dengan pendapatan RM5,914.80 sebulan.

Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan ikat jamin bernilai RM28,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Pejabat SPRM Raub pada hari Isnin minggu pertama setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Tertuduh juga dilarang berhubung dengan pengadu dan saksi pendakwaan kecuali pegawai penyiasat sepanjang tempoh perbicaraan selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI