fbpx

Dewan Rakyat: 413.61 tan durian bernilai RM24.84 Juta dieksport ke China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengeksport sebanyak 413.61 tan durian segar bernilai RM24.84 Juta ke China bagi tempoh 24 Ogos 2024 sehingga 31 Disember 2024.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia susulan laluan pasaran durian segar Malaysia ke China diperolehi pada 19 Jun 2024.

“Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China ditandatangan kedua-dua negara.

“Dengan kelulusan 95 ladang dan 48 fasiliti pembungkusan oleh Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Malaysia memulakan pengeksportan sulung durian segar ke China pada 24 Ogos 2024 dengan kuantiti 40 tan metrik menerusi penghantaran udara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Arthur berkata, durian segar Malaysia menerima sambutan yang amat menggalakkan di pasaran China dengan populariti durian Malaysia dianggap sebagai premium.

Kata beliau, durian Malaysia kini boleh didapati di 16 buah wilayah di China antaranya Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Tianjin dan Chengdu.

Beliau berkata, Pejabat Penasihat Pertanian Beijing juga aktif melaksanakan aktiviti promosi kepada pengguna di China untuk mengenali ciri-ciri dan kelebihan pelbagai varieti durian dari Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, antara cabaran utama dihadapi industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing durian segar adalah pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan.

“Durian dari Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Singapura dan Hong Kong. Saiz pasaran durian segar di China pada tahun 2023 adalah bernilai RM32 bilion.

“Namun, permintaan durian segar bagi pasaran eksport tidak dapat dipenuhi oleh pengeluaran semasa. Bekalan buah durian segar hanya terhad kepada musim tuaian, kebiasaannya dua kali setahun,” katanya.

Kata beliau, cabaran lain adalah berkenaan tempoh kesegaran durian segar yang pendek kerana durian yang dituai perlu dieksport dengan segera dan dipasarkan dalam tempoh tiga ke empat hari bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti.

Tambahnya, kos logistik juga menjadi cabaran kerana pengeksportan durian segar ke China dalam tempoh segera memerlukan pengangkutan udara pada suhu yang rendah menyebabkan kos penghantaran yang lebih tinggi berbanding durian segar dari Thailand dan Vietnam yang dihantar melalui jalan darat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI