HULU TERENGGANU – Seramai lapan penjawat awam yang melakukan kerja-kerja penandaan kawasan mata air panas panik apabila mereka tiba-tiba terperangkap dengan fenomena kepala air di Air Terjun Belukar Bukit di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, kesemua mangsa terdiri daripada kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Geosains dan Mineral terperangkap lebih sejam akibat tidak dapat menyeberang sungai disebabkan fenomena terbabit.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zaharim Yusof berkata, sebelum kejadian, mereka dikatakan baru menjalankan kerja-kerja penandaan kawasan mata air panas baharu di Sungai Cheh berhampiran.
“Hujan lebat turun sewaktu mereka dalam perjalanan pulang menyebabkan berlakunya fenomena kepala air di Air Terjun Belukar Bukit.
“Ia menyebabkan kesemua mangsa terdiri daripada masing-masing empat lelaki dan wanita terperangkap tidak dapat menyeberangi sungai yang berarus deras berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zaharim berkata, penduduk kampung kemudiannya membantu lapan penjawat awam terbabit untuk menyelamatkan diri.
Beliau berkata, kesemua mangsa akhirnya berjaya menyeberangi sungai dengan menggunakan rotan dibawa penduduk kampung.
“Mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan tiba di seberang sungai pada pukul 7 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE