MELAKA – Polis negeri ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas 54 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2.08 juta, Khamis lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dalam tempoh 24 jam pihaknya turut memberkas empat lelaki tempatan dan dua lagi warga Indonesia berusia antara 32 hingga 49 tahun, dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah.
Katanya, kegiatan itu dikesan oleh anggota peronda kira-kira pukul 9.15 malam selepas terlihat suspek pertama dalam keadaan mencurigakan memindahkan barang dari bonet belakang sebuah kereta jenis Mercedes Benz ke dalam kereta Volkswagen Passat dipandunya sebelum memecut laju.
“Anggota peronda cuba mengejar kereta tersebut, namun gagal dan berpatah balik untuk membuat pemeriksaan ke atas Mercedes Benz berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, anggota kita menemukan dua guni mengandungi 24 peket plastik teh bewarna hijau dan satu beg berzip mengandungi tujuh peket plastik sama yang disyaki dadah jenis syabu seberat 33.043 kilogram bernilai RM1.24 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar rampasan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menjejaki dan memberkas suspek pertama serta merampas dadah jenis syabu seberat 21.386 kilogram bernilai RM840,000 di sebuah pangsapuri di Klebang.
“Susulan tangkapan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari IPK Melaka dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman telah melakukan tiga lagi serbuan berasingan dan memberkas lima lelaki termasuk dua warga Indonesia dalam tempoh kurang 24 jam.
“Keempat-empat suspek tempatan yang diberkas tidak bekerja manakala dua warga asing itu adalah nelayan dan berasal dari Pulau Rupat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai telah dibawa masuk ke negeri ini sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebagai lokasi transit bagi pengedaran antarabangsa.
“Jumlah dadah yang dirampas ini mampu menampung 100,000 sehingga 150,000 penagih dadah, jadi kita yakin ia merupakan sindiket pengedaran antarabangsa dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi transit.
“Kita turut menyita sebuah bot nelayan, dua buah motosikal dan empat buah kereta bernilai RM179,000 yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman sehingga 29 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE