PETALING JAYA – Kebaikan seorang guru yang membantu merealisasikan hajat anak muridnya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk kembali ‘berlari’ menyentuh hati warga media sosial.
Di dalam satu video tular, guru lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Fairus itu sanggup berlari sambil menolak kerusi roda anak muridnya, Adam, 8, dalam aktiviti sukan merentas desa sejauh 3.94 kilometer.
Paling menyentuh hati, ketika video dirakam, kelihatan Adam yang duduk di atas kerusi roda tersenyum lebar sambil melambai ke arah ibunya yang berada di bahu jalan.
Menerusi perkongsian ibu Adam, dikenali sebagai Adeela Shakila, pengalaman tersebut adalah yang pertama buat anaknya yang menghidap penyakit penyakit cerebral palsy atau kelumpuhan otak.
“Hari yang paling Adam tunggu-tunggu. Pengalaman pertama Adam. Dia seronok sangat. Masa dia lalu ibu tidak boleh nak sorak dah dekat dia. Sebak sangat-sangat terharu.
“Dia tidak pernah sertai mana-mana sukan. Hanya mampu tengok kawan-kawan. Terima kasih Cikgu Fairus atas pengorbanan cikgu bagi peluang dan sudi tolak Adam. Hanya Allah mampu balas jasa cikgu,” tulisnya di ruangan kapsyen video.
Sebelum itu, Adeela turut berkongsi tangkap layar kiriman mesej Cikgu Fairus kepadanya beberapa hari sebelum aktiviti sukan merentas desa bermula.
Dalam kiriman mesej itu, Cikgu Firdaus meminta izin Adeela untuk menolak Adam di atas kerusi roda sebelum wanita itu memaklumkan berita gembira itu kepada anaknya.
“Rezeki Adam boleh sertai merentas desa dengan kawan-kawan. Ibu dah tanda dekat borang tak izinkan sebab keadaan dia. Tapi tak sangka ada cikgu yang sanggup tolak kerusi roda dia (Adam) nanti. Laju je dia jawab ‘nak’,” ujar Adeela.
Sehingga kini video tular tersebut mendapat lebih 351,600 tontonan, 33,500 tanda suka dan 2,348 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang tersentuh hati melihat kebaikan Cikgu Fairus sekali gus mendoakan agar urusan Adam untuk menuntut ilmu juga dipermudahkan.
“Terima kasih Cikgu Fairus. Doa ibu-ibu seluruh warga TikTok agar hidup cikgu dipenuhi kebaikan dan kemudahan,” komen Juemuda.
“Tolong mana-mana platform naikkan Cikgu Fairus dan cikgu cikgu lain yang memberi inspirasi macam ni. Sebak la pagi ni. Moga Cikgu Fairus tahu lah ramai yg doakan beliau ni,” komen Shafiqah Liyana.
“Sedihnya nikmat apa yang kau dustakan. Semoga baik baik sahaja ya adik. Dan terima kasih orang baik semoga dipermudahkan segala urusan cikgu,” komen Natasha. – KOSMO! ONLINE
@adeelashakila Hari yg paling Adam tunggu2. Pngalaman ptama Adam. Dia sronok sgt. Msa dia lalu ibu xleh nk sorak dh kt dia. Sebak sgt2 😭 terharu. Dia xpnah join mana2 sukan. Hnya mmpu tgk kwn2. Terima Kasih cg Fairus ats pngorbanan cg bgi peluang dan sudi tolak Adam. Hnya Allah mampu balas jasa cg 🤲🏻 #fypシ #ppki #cerebralpalsy #merentasdesa #padangterap ♬ UAK – amir_mior