IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan perbuatan enggan membacakan teks khutbah oleh beberapa khatib masjid di negeri ini baru-baru ini sebagai keterlaluan dan tidak boleh didiamkan.
Baginda bertitah, kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan yang merasakan diri mereka telah bertaraf ilmuwan atau ulama.
“Kebelakangan ini semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang. Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.
“Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, baginda disembah maklumkan sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.
Baginda bertitah, perbuatan sebegitu sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan.
Titah baginda, berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegini, laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah.
“Khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan.
“Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah melakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang.
“Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah yang songsang,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan sewajarnya melakukan siasatan secara adil dan saksama dengan meneliti fakta serta kesahihan terhadap perbuatan-perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja.
Baginda bertitah, penemuan dan apa juga ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak terlibat setelah selesai melalui proses rayuan hendaklah diangkat sembah laporannya beserta perakuan untuk pertimbangan Raja Pemerintah sewajarnya. – KOSMO! ONLINE