KUALA LUMPUR – Permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak permohonan mereka untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik, dibantah Jabatan Peguam Negara hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali berkata, bantahan itu dibuat atas alasan permohonan tersebut adalah pramatang dan penyalahgunaan proses mahkamah.
“Pihak kami berhujah bahawa pemohon tidak merayu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin terlebih dahulu sebelum memfailkan semakan kehakiman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 dan MUDA mempunyai tempoh 30 hari dari 6 Januari untuk mengemukakan rayuannya.
“Justeru mahkamah menetapkan 4 Februari ini untuk keputusan mengenai permohonan bagi semakan kehakiman tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pendengaran permohonan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya menerusi aplikasi Zoom.
Dalam prosiding itu, Syed Saddiq yang juga pengasas MUDA serta 12 individu selaku pemohon diwakili peguam Tan Sri Tommy Thomas, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Lim Wei Jiet.
Pada 12 Januari lalu, MUDA telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan RoS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Selain itu mereka turut memohon perintah untuk membatalkan keputusan jabatan pendaftaran itu yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.
Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman berkata pihaknya menerima surat daripada RoS pada 6 Januari lepas yang menyatakan bahawa permohonan MUDA tidak mematuhi Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966.
Permohonan itu kemudian ditolak mengikut Seksyen 7 (3) (e) Akta Pertubuhan 1966.
Menurutnya, terdapat kelalaian (omission) dari pihak RoS untuk menjelaskan secara terperinci perenggan kecil atau peruntukan mana di bawah Jadual Pertama yang tidak dipatuhi oleh MUDA.
Penaja-penaja MUDA tidak dapat mengetahui akan ketidakpatuhan yang dikatakan itu dan tidak dapat membetulkannya. – K!ONLINE