KUALA LUMPUR – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan tradisi tahunan dengan menyediakan bungkusan Hari Raya Aidilfitri bagi anggota tentera yang bertugas di perbatasan di dalam atau luar negara.
Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, Datin Risia Sheikh Ali Omar Bajarai berkata, sebanyak 15,000 bungkusan telah disiapkan sejak sebulan lalu dengan 200 pek terakhir disempurnakan dalam satu aktiviti pembungkusan di Dewan Mulia, Rumah Bakat ATM, Kem Kementah, hari ini.
“Ini merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak lebih 30 tahun lalu. Kami bergotong-royong menyediakan kuih raya serta barangan lain untuk diberikan kepada anggota yang bertugas pada Hari Raya nanti.
“Selain kuih raya, terdapat juga barangan hasil sumbangan syarikat-syarikat swasta sebagai tanda keprihatinan terhadap pengorbanan anggota ATM yang berkhidmat untuk negara,” katanya pada sidang akhbar selepas aktiviti berkenaan hari ini.
Turut hadir, Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia, Brigadier Jeneral Hamdan Ahmad TUDM.
Antara penyumbang bagi beg hari raya ini termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak ATM telah mula mengumpul barangan sejak September tahun lalu dan memulakan pembungkusan sebulan lalu bagi memastikan bungkusan ini dapat diedarkan tepat pada masanya.
Menurut Risia, program ini bukan sahaja untuk memberi semangat kepada anggota tentera yang berjauhan daripada keluarga pada musim perayaan, tetapi juga untuk menyuntik motivasi kepada isteri-isteri mereka yang ditinggalkan.
“Sebagai Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, saya bertanggungjawab memastikan ahli-ahli Bakat tidak merasa terasing apabila suami mereka bertugas jauh. Beg Raya ini juga diharap dapat mengubat rindu para perwira terhadap kampung halaman,” ujarnya.
Tambahnya, bungkusan berkenaan akan diserahkan kepada Panglima Perkhidmatan untuk diagihkan kepada anggota tentera yang bertugas di perbatasan.
Jelasnya, majlis penyerahan rasmi dijadualkan berlangsung pada 20 Mac ini dan akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berharap dengan adanya program ini, anggota tentera dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi tanpa kebimbangan terhadap kebajikan keluarga yang ditinggalkan. – KOSMO! ONLINE